SEJARAH

Sekolah Kebangsaan Ladang Yong Peng telah wujud sebelum negara kita mencapai kemerdekaan lagi. Lokasi asalnya terletak di sebuah ladang getah kepunyaan seorang  lelaki berbangsa inggeris. Ia terletak kira-kira 12 km dari pekan Yong Peng. Nama asal sekolah ini ialah Sekolah Melayu Seri Yong Peng Estate. Ia di ambil sempena nama tempat di mana sekolah ini didirikan. 
Pada tahun 1951, muncul seorang tokoh Melayu yang berasal dari Senggarang, Batu Pahat, yang sedar betapa pentingnya pendidikan pada masa itu. Beliau ialah En. Ahmad bin Hj Manan. Ketika itu beliau berusia dalam lingkungan 40-an. Beliau bertugas sebagai Imam Masjid Ladang A. En. Ahmad juga bekerja sambilan sebagai buruh di ladang itu.
Berkat kegigihannya, maka terbina sebuah sekolah di ladang itu. Harapan yang murni itu telah mendapat restu daripada pihak pengurusan ladang dengan menyediakan tapak bangunan dan seterusnya membiayai segala kos pembinaan. 
Sesi persekolahan dimulakan sebaik sahaja sekolah itu siap dibina. Pada awalnya bangunan sekolah itu hanya mempunyai dua bilik pejabat dan sebuah dewan yang dijadikan bilik darjah tanpa sebarang pemisah antara setiap darjah. Seramai 150 orang murid dari ladang berhampiran (Ladang A, B, B2 dan Ladang C) telah memulakan sesi persekolahannya. Pada peringkat awal sekolah ini hanya sampai ke darjah 5 sahaja. Para pelajar boleh menyambung pelajaran ke darjah 6 di sekolah yang terletak di Pekan Yong Peng. 
Pengerusi Jawatankuasa sekolah ini yang pertama telah disandang oleh En. Ahmad bin Hj Manan. Turut serta dalam usaha tersebut ialah En Mahadi bin Abu Bakar yang menjadi tukang kebun sekolah. Pihak ladang juga telah bermurah hati menyediakan kemudahan pengangkutan bas untuk murid-murid berulang alik. 
Pada tahun 1971 sekolah ini telah mendapat bangunan baru terletak di Pekan Kangkar Baru. Bangunan baru ini mula digunakan pada bulan Januari 1973 hinggalah sekarang.   

1 ulasan:

  1. Semoga SKLYP terus maju dan giat melahirkan insan masa depan yang cemerlang sebagai memenuhi aspirasi negara maju.

    BalasPadam